PRN Melaka hanya susahkan rakyat, Pejuang pilih fokus PRU-15

0
84
Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahaya

CYBERJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bukan jalan penyelesaian terbaik kepada kemelut politik di negeri berkenaan dan ia hanya akan menyusahkan rakyat semata-mata.

Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahaya berkata, beliau percaya tiada siapa yang akan mendapat majoriti kerana pada akhirnya tetap berlaku perebutan kuasa dan kepentingan sendiri.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Pejuang semalam sudah memaklumkan bahawa kemungkinan Pejuang tidak akan terlibat dalam PRN Melaka kerana melihat ia akan membawa masalah kepada rakyat.

“Sekiranya PRN tetap berlaku, saya melihat tiada siapa akan dapat majoriti kerana pada akhirnya akan berlaku perebutan kuasa dan kepentingan (diri) sendiri…Perkara itu melebihi segalanya ketika ini.

“Sebab itu Pejuang melihat ini bukan satu jalan penyelesaian dan kita dari awal beranggapan ini masanya rakyat mulakan kehidupan mereka, kerajaan seharusnya memainkan peranan lebih besar untuk pastikan kedudukan ekonomi dan rakyat ke arah lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas mengenai penglibatan Pejuang dalam PRN Melaka nanti, Marzuki berkata, ketika ini bukan soal berapa calon Pejuang akan letak dalam pilihan raya itu.

“Pejuang berpendirian ini bukan jalan penyelesaiannya dan kita masih ada waktu dan masa dan saya rasa pejuang akan lebih fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya.

Terdahulu semalam, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kemungkinan parti itu tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRN Melaka berdasarkan kepada pendirian parti itu yang menolak PRN diadakan dalam masa terdekat ini.

Bagaimanapun kata Amiruddin, keputusan itu boleh berubah pada saat akhir sekiranya keadaan diyakini lebih selamat untuk diadakan pilihan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here