PRN Melaka: Muafakat BN, PN diramal mampu menang 21 kerusi – Khairuddin at-Takiri

0
221
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November hadapan sekiranya kedua-dua gabungan parti politik itu bermuafakat

Menurut bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dengan muafakat politik itu peluang untuk Pakatan Harapan (PH) kembali merampas Melaka pasti akan gagal.

“Formula perundingan di PRN Melaka iaitu kerusi penyandang kekal pada penyandang. Ini bermakna UMNO BN kekal bertanding 14 kerusi.

“Dengan dokongan undi Pas dan Bersatu, 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi oleh UMNO. Bersatu kekal bertanding dua kerusi yang disandang,” kata Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus itu dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Mengulas lanjut, katanya, baki 12 kerusi lagi yang dimenangi oleh PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu perlu diagihkan antara Pas, BN dan Bersatu.

Katanya, dengan dokongan tiga parti utama itu, lima kerusi adalah sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

“Dengan itu PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku.

“Rasanya tidak sukar untuk berunding jika diletakkan atas satu matlamat iaitu kemenangan bagi umat Islam dan bagi menghalang kemenangan PH.

“Saya menyeru semua pihak berunding. Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah mana kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita. Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here