PRN Melaka : SOP diperketatkan, belajar dari PRN Sabah

0
17
Dr Noor Azmi Ghazali

CYBERJAYA – Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dijadikan pengajaran dalam PRN Melaka bagi mengelak penularan Covid-19 termasuk langkah-langkah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan tidak mahu peningkatan secara mendadak kes Covid-19 di Sabah berulang di Melaka seterusnya membawa gelombang wabak ke seluruh negara.

“Kita membuat keputusan SOP PRN Melaka perlu diperketatkan memandangkan pengalaman PRN Sabah bukan sahaja meningkatkan kes di Sabah tetapi juga meningkatkan kes di negeri lain yang mengakibatkan gelombang Covid sangat besar.

“Peningkatan kes berkait rentas negeri melibatkan pengundi penyokong, petugas ketika sebelum, semasa dan selepas PRN,” katanya pada sesi perbahasan usul Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, hari ini..

PRN Sabah yang berlangsung pada 26 September tahun lalu dikatakan menjadi punca penularan besar-besaran dan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Dr. Noor Azmi berkata, mengambil kira kes harian yang masih tinggi di Melaka, pelaksanaan dan pematuhan SOP yang ketat adalah sesuatu yang amat diutamakan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertikaikan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan SOP untuk PRN Melaka yang melarang penganjuran kempen menerusi perhimpunan atau majlis sosial termasuk walkabout.

Katanya, SOP berkenaan mencetuskan pertikaian sama ada ia dilaksanakan demi mengawal penularan Covid-19 atau mengurangkan persaingan untuk kepentingan parti politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here