
MELAKA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee enggan mengulas mengenai keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang tidak mencalonkannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.
Bekas exco kerajaan negeri itu hanya memaklumkan beliau akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung isu itu selepas ini.
“Nanti saya komen, semua wartawan hubungi saya sekarang ini,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.
Majlis Presiden PH hari ini menegaskan Norhizam tidak akan menjadi calon PH pada PRN nanti selepas menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara tersebut.
Norhizam sebelum ini bersama tiga lagi bekas ADUN menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan 20 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 November hari penamaan calon dan 16 November tarikh undi awal.