PRN Melaka: UMNO dan BN belum putuskan untuk bekerjasama dengan parti mana

0
80
Gambar Hiasan – Bendera Pas dan Barisan Nasional

MELAKA – Parti mana yang akan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan dimuktamadkan selepas mesyuarat mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Dewan Tertinggi BN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkaitan kerjasama untuk menghadapi PRN Melaka itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November depan.

“UMNO dan BN mesti ditanya siapa rakan politik kami untuk menghadapi PRN. Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk UMNO dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak belum diputuskan secara rasmi.

“Keputusan muktamad akan kita umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik UMNO dan juga MKT UMNO akan diikuti Dewan tertinggi BN yang akan kita adakan minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamaan calon,” jelasnya selepas melancarkan Jentera PRN UMNO Melaka di Masjid Tanah hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima pandangan mana-mana pihak sebelum keputusan dibuat.

“Pelbagai pihak datang kepada kami, kami berlapang dada dan berfikiran terbuka… siapa sahaja mahu berikan pandangan kami terima.

“Namun segala keputusan akan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya nanti. Maka jangan ada spekulasi daripada mana-mana penganalisis politik untuk menelaah di manakah pendirian UMNO dan BN dalam PRN Melaka ini,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, pemilihan calon UMNO ketika ini bertumpu kepada rekod kemenangan calon berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ke-14 lalu.

“Setakat ini kami melihat bahawa fokus kepada calon-calon kami terletak di atas kebolehmenangan kawasan DUN itu.

“Berdasarkan sains dan data melalui perangkaan yang diperolehi daripada PRU-14 dan PRU-13 dan unjuran yang dibuat untuk PRN kali ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here