PRN Melaka: UMNO putuskan hanya bekerjasama dengan Pas, tolak Bersatu

0
622
Gambar Hiasan – Bendera Pas dan Barisan Nasional

CYBERJAYA – UMNO memutuskan hanya mahu bekerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November hadapan.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

“Mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan parti Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

“Asas persefahaman dengan Pas berpandukan kepada prinsip bahawa Pas menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 19 Oktober 2020 dan 18 November 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, MKT turut bersetuju melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai Pengarah PRN Melaka.

Selain itu, katanya, MKT juga memberikan mandat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka.

Sebelum ini Presiden UMNO memberi bayangan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, baru-baru ini Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh Pas dan Bersatu bersetuju untuk bertanding dalam PRN Melaka dengan mengunakan logo PN.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here