Program Maulidur Rasul Yadim terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

0
23
Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan dalam program Tazkirah 24 Jam

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records apabila program tazkirah yang dianjurkan selama 24 jam tanpa henti sempena sambutan Maulidur Rasul diiktiraf sebagai “Longest Non Stop Live Broadcasting Islamic Talk”.

Menurut Yadim dalam satu kenyataan, program yang bermula pada pukul 9 malam kelmarin dan berakhir pada pukul 10 malam semalam itu juga merupakan sebahagian daripada pengisian kepada program Bulan Dakwah 2.0 Yadim.

“Bertitik tolak dengan hasrat melestarikan gerakan dakwah, program ini telah melibatkan seramai 24 penceramah dari dalam dan luar negara selama 24 jam tanpa henti.

“Program ini juga secara lengkap membedah buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim yang diterjemah daripada kitab yang terkenal iaitu Al-Raheeq Al-Makhtum karangan Syeikh Saffiyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri.

Tazkirah 24 Jam tanpa henti anjuran Yadim sempena Maulidur Rasul

“Kitab tersebut dipilih kerana ia merupakan salah satu daripada sumber rujukan kontemporari yang terbaik dalam mengkisahkan perjalanan hidup junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara lengkap,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang program itu bersiaran sejumlah 44,893 orang peserta dan penonton telah mengikuti program itu secara fizikal dan maya.

Katanya, secara purata kira-kira lebih 500 orang mengikuti program berkenaan untuk setiap masa.

“Lebih membanggakan lagi ketika mengumumkan kejayaan mencatatkan rekod tersebut, Eksekutif Akaun, Malaysia Book Of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi turut mengumumkan bahawa Yadim sebenarnya telah berjaya mencatatkan rekod program selama 25 jam tanpa henti,” katanya.

Eksekutif Akaun, Malaysia Book Of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi

Sementara itu, Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan berharap semoga inisiatif berkenaan dapat mencetuskan gelombang dakwah di negara ini dan dapat memberi inspirasi kepada banyak pihak yang sama-sama mahu melestari gerakan dakwah di Malaysia.

“Yadim akan terus mempergiat aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial yang terangkum dalam konteks dakwah yang luas khususnya sepanjang pelaksanaan Bulan Dakwah 2.0 sehingga penghujung Disember 2021.

“Program-program yang telah dirancang ini pastinya akan membantu merealisasikan agenda Keluarga Malaysia yang dibawa oleh pihak kerajaan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here