Proton catat jualan 10,380 pada September, Saga paling laris

0
53
Proton Saga

CYBERJAYA- Proton Holdings Bhd mencatatkan jualan sebanyak 10,380 unit kenderaan pada September dengan Proton Saga menjadi pilihan utama pelanggan.

Prestasi berkenaan menjadi bulan yang produktif bagi pengeluaran kereta nasional itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Berdasarkan jumlah jualan yang dicatatkan pada September, pegangan pasaran Proton dianggarkan sekitar 23.9% berdasar kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23 peratus, lebih baik jika dibandingkan dengan angka penutup sebanyak 20.7 peratus tahun lalu.

“Prestasi jualan Proton pada bulan September dipacu oleh jualan Proton Saga.

“Sebanyak 3,907 unit sedan segmen-A itu dijual bulan lalu, satu pencapaian yang bukan saja menerajui segmennya, tetapi juga membolehkan model paling popular syarikat itu menduduki tempat teratas bagi jualan model secara individu.

“Pada masa yang sama, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton terus kekal utuh dengan peningkatan penyerahan kedua-dua kenderaan siri-X untuk memenuhi permintaan.

‘Kedua-dua model mengungguli segmen mereka dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada September sementara jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit,” katanya dalam kenyataan.

Roslan berkata, secara keseluruhan, 27,312 unit SUV dijual oleh syarikat pada tahun ini, bersamaan 37.4% jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit.

Menurutnya, walaupun bahagian pengeluaran terkesan oleh kekurangan bekalan komponen, Proton masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz, yang turut menampilkan varian Iriz Active.

“Kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik Proton bulan lalu. Sebenarnya, kami mampu untuk menjual lebih dari 10,380 unit yang diperoleh, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih memberi kesan kepada pembekal industri automotif.

“Situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat, jadi kami harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti pengeluaran tertakluk kepada perubahan semasa.

“Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, Proton akan menumpukan perhatian untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah membuat tempahan,” katanya.

Roslan berkata, Proton akan menyelesaikan masalah permintaan yang tertangguh, membolehkan lebih banyak jualan pada tahun depan dan membantu jenama itu maju ke hadapan dengan perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian produk ke pasaran tempatan dan eksport.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here