Punca kebakaran di Kampung Baru Karak masih dalam siasatan

0
113
Sebanyak 51 buah rumah dan 11 buah kedai dilaporkan musnah sama sekali dalam kejadian semalam.

BENTONG – Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih belum mengenal pasti punca sebenar kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak, malam semalam.

Dalam kejadian itu, sebanyak 51 buah rumah dan 11 buah kedai dilaporkan musnah sama sekali setelah dijilat api.

Menurut portal Utusan Online, Pengarah JBPM negeri, Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, siasatan sedang giat dijalankan daripada segenap aspek serta turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) jabatan berkenaan.

Jelasnya, punca utama kebakaran belum dikenal pasti tetapi siasatan semakin tertumpu kepada sebuah kedai gunting tidak didiami di kampung tersebut.

“Faktor rumah yang rapat serta bangunan kayu menyebabkan api marak dengan cepat selain masalah tekanan air rendah yang menyebabkan kesukaran mengawal api,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Baru Karak, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda; Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.

Sementara itu Abd. Rahim berkata, pihaknya memandang serius masalah tekanan air rendah yang menyukarkan pemadaman api serta masalah pendawaian elektrik di bangunan lama yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Saya meminta pejabat tanah, majlis perbandaran dan bomba mengenal pasti kawasan yang selalu berlaku tekanan air rendah, selain itu Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) sendiri memastikan melakukan pemeriksaan berkala dan lebih kerap,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here