Remaja, kanak-kanak belum divaksin dibenarkan merentas negeri

0
149
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Kerajaan turut membenarkan perjalanan merentas negeri kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak walaupun mereka belum menerima vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Pada masa sama, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

“Kita lihat kepada purata keseluruhan di seluruh negara apabila capai 90 peratus. Ada negeri (kadar vaksinasi) yang lebih 100 peratus dan ada yang masih kurang.

“Bagaimanapun, tiada SOP baharu akan diperkenalkan (bagi negeri yang belum mencapai 80 peratus kadar vaksinasi).

“Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa merekalah  yang sepatutnya tidak membawa mereka ke tempat perhimpunan ramai dan mereka boleh untuk rentas negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.

Perdana Menteri berkata, pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

“Bagaimanapun, data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here