RM10 juta untuk jayakan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan

0
6

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika majlis pelancaran Hari Sukan Negara hari ini

PUTRAJAYA – Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan diyakini dapat meningkatkan pembabitan golongan wanita dalam aktiviti sukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan.

Beliau berkata, pelan berkenaan mempunyai lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif yang menggariskan pelbagai objektif, strategi dan juga inisiatif.

“Pelan terancang itu juga dijangka meningkatkan kepemimpinan wanita dalam badan sukan, kejurulatihan dan kepegawaian sukan.

“Susulan itu, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini.

“Jawatankuasa ini dianggotai 15 pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman,” katanya pada pelancaran Hari Sukan Negara 2021 hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, pelan tindakan itu selaras Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997, selain perundangan di peringkat antarabangsa seperti Piagam Olimpik, Agenda Olimpik 2020, Pelan Tindakan Kazan serta Konvensyen Penghapusan Segenap Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Pada masa sama, beliau mengakui kepentingan pembangunan bakat sukan dalam kalangan masyarakat bagi melahirkan juara di temasya antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here