Sebahagian besar penghuni kuarters Kenari di Putrajaya resah, terima notis pengusiran ketika Covid-19

0
1485
Senator Datuk Hisamudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Bagai jatuh ditimpa tangga, nasib kira-kira 90 peratus penduduk di kuarters perumahan kerajaan Kenari di Presint 9 Putrajaya kini terumbang ambing apabila diminta keluar dari kediaman mereka di saat pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

Senator Datuk Hisamudin Yahaya (Putrajaya dan Wilayah Persekutuan) berkata, tindakan menghalau penduduk dari kuarters tersebut adalah tidak bertimbang rasa, lebih-lebih lagi, mereka adalah yang menetap di kawasan itu adalah penjawat awam.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah mengeluarkan satu notis pelanggaran peraturan menduduki kuarters kerajaan.

“Hampir 90 peratus rumah kuarters di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kenari, telah menerima notis tersebut. Malah, ada yang diminta keluar dari rumah mereka ketika pandemik ini. Berita sedemikian amat menyedihkan, malah bertentangan dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Saya berpendapat bahawa tindakan sampai dihalau keluar dari kuarters adalah tidak bertimbang rasa semasa pandemik Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi, mereka adalah penjawat awam. Pada hemat saya, semasa pemeriksaan dan penilaian dilakukan, sewajarnya Majlis Penduduk dilibatkan bersama agar semua pihak berpuas hati,” katanya dalam Sesi Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu, Hisamudin menggesa supaya BPH mengkaji semula sistem demerit yang diwujudkan agar lebih relevan dan selaras dengan situasi semasa.

Katanya, pihak BPH sewajarnya mengadakan sesi taklimat tentang pelaksanaan demerit kepada penghuni kuarters bagi menerangkan maksud secara jelas dan terperinci.

“Saya juga berharap pihak BPH dapat meletakkan pegawai penyelia mengikut zon di Putrajaya bagi memudahkan komunikasi di antara penduduk dan wakil BPH,” ujarnya.

Sementara itu, Hisamudin turut mempersoalkan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data Prihatin e-Kasih.

Katanya, ini kerana data tersebut menunjukkan terdapat 14,400 miskin tegar di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan daripada jumlah itu hanya lapan orang sahaja merupakan keluarga miskin tegar di Putrajaya.

Beliau berkata, data itu sangat meragukan kerana berdasarkan rekod UMNO Bahagian Putrajaya, terdapat lebih 1,000 keluarga miskin tegar dalam Parlimen Putrajaya.

Berikutan itu, beliau menggesa supaya pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dapat menyemak semula data itu supaya golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dibantu oleh kerajaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here