Sekolah di Selangor, KL, Putrajaya dan Melaka dibuka 8 November

0
233
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Semua sekolah di Lembah Klang dan Melaka akan dibuka sepenuhnya bermula 8 November ini susulan peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula esok.

Menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, pengoperasian institusi pendidikan di negeri terbabit berdasarkan ketetapan Fasa Empat PPN yang hanya akan bermula pada 1 November ini.

Katanya, ia membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Empat sekolah menengah.

“Sementara kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November.

“Institusi pendidikan di bawah KPM ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah kementerian bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN pada esok sehingga 31 Oktober.

“KPM menyarankan supaya ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan bagi negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah yang beralih ke Fasa Tiga bermula esok, pengoperasian berdasarkan ketetapan fasa itu bagi Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober ini.

Bagi Pulau Pinang, Perak dan Sabah pula, katanya, pengoperasian institusi berdasarkan ketetapan Fasa Tiga PPN akan bermula pada 1 November.

“Sehubungan dengan itu, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM bagi Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Dua PPN pada esok.

“(Ini seiring pendekatan) KPM yang menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here