Singapura mula uji robot sebagai peronda kawasan awam

0
36
‘Xavier’ sedang meronda sebuah kawasan tumpuan orang ramai di Toa Payoh, Singapura.

SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura telah memulakan ujian menggunakan robot bagi melakukan rondaan di kawasan awam.

Menurut The Guardian, robot yang dinamakan sebagai Xavier itu dilengkapi dengan tujuh kamera pengawasan dan speaker yang boleh dihidupkan bagi melaungkan amaran.

Robot itu yang dibangunkan oleh sebuah badan kerajaan, Agensi Sains dan Teknologi Dalam Negeri (HTX), akan menjalani ujian selama tiga minggu di kawasan beli belah dan kediaman penduduk, bagi memantau tindak tanduk penduduk dalam mematuhi undang-undang, termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Walaupun menerima kritikan, kerajaan Singapura mempertahankan ujian itu sambil berkata, ia dilaksanakan bagi mengenal pasti kelebihan dan kekurangannya dalam meringankan beban rondaan yang terpaksa dilakukan oleh pihak polis negara itu.

“Hakikatnya, bilangan tenaga kerja kita semakin menyusut,” kata salah seorang pegawai HTX, Ong Ka Hing.

Para pengkritik ujian itu menekankan, penggunaan robot itu semakin menyempitkan ruang peribadi rakyat Singapura, yang kini dikelilingi kamera pengawasan dengan teknologi pengecaman wajah di serata negara itu.

“Dalam isu ini, tidak ada batasan undang-undang privasi pada apa yang dapat atau tidak dapat dilakukan oleh kerajaan,” kata Indulekshmi Rajeswari, seorang peguam privasi dari Singapura yang kini berpusat di Jerman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here