SJR Bentong ditutup selepas 10 bulan beroperasi

0
24
Gambar hiasan

BENTONG – Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Bentong di sini yang merupakan antara SJR utama kemasukan dari Pantai Timur ke Lembah Klang ditutup malam semalam.

Penutupan SJR yang dibuka sejak 10 bulan lalu pada pukul 11.59 malam itu disaksikan oelh Pegawai Daerah Datuk Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Penerangan UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, sepanjang 265 hari penugasan sejak 12 Januari lalu, pihaknya merekodkan lebih 2 juta kenderaan diperiksa dengan purata 7,624 buah kenderaan sehari.

“SJR ini akan menjadi ingatan kepada kita barisan hadapan tidak kira sama ada polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain yang membantu menjadikan satu sejarah dan kita harap penularan Covid-19 terkawal.

“Selepas sahaja sekatan jalan raya ini ditamatkan, penguatkuasaan diteruskan khususnya di tempat yang menjadi tumpuan pelancong yang akan diperhebat pemantauan dan kita mengharapkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,”katanya memetik laporan Utusan Online selepas meninjau penutupan SJR Plaza Tol Bentong di sini.

Menurut Zaiham, pada malam semalam, satu lagi SJR bersempadan dengan Negeri Sembilan di Manchis dekat sini turut ditutup manakala SJR berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi di sini telah ditutup pada 4 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Zaiham berkata, sepanjang penugasan di SJR Plaza Tol Bentong sebanyak 180 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala purata 10 kenderaan diarahkan berpatah balik setiap hari.

Katanya, antara kejayaan terbesar dalam SJR tersebut adalah rampasan daun ketum sebanyak 1,505 kilogram yang menjadi antara rampasan ketum terbesar di Pahang pada 9 Oktober lalu.

“Di sini adalah laluan pintu masuk utama tentulah jumlah kenderaan tinggi, pemeriksaan dilakukan dengan teliti tidak boleh sambil lewa sebab kita bimbang nanti mereka yang tidak sepatutnya merentas tanpa kebenaran akan bolos.

“Sepanjang penugasan, petugas kita memberikan komitmen 100 peratus walau apa keadaan sekali pun sebab itu tugas dan tanggungjawab kita, walaupun letih dan berhadapan cuaca panas namun ia dilaksanakan dengan baik,”ujarnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here