Solat berjemaah tanpa penjarakan sosial dibincang Rabu ini – Menteri Agama

0
493
Idris Ahmad

CYBERJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengatur satu muzakarah khas pada Rabu ini bagi membincangkan lebih banyak kelonggaran aktiviti di masjid dan surau termasuk cadangan untuk merapatkan semula susunan saf ketika solat berjemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad berkata, muzakarah itu juga akan turut melibatkan semua mufti negeri dan ahli yang dilantik dalam kalangan pakar.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga akan turut serta dalam perbincangan itu.

“Susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu, saya telah mengarahkan Jakim supaya dapat mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada 20 Oktober ini.

“Muzakarah pada kali ini bertujuan untuk mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh KKM dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

“Ini termasuklah cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, beliau yakin
satu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah dapat diadakan seperti sediakala dengan SOP tertentu.

Semalam, kerajaan Arab Saudi mula membenarkan umat Islam di negara itu menunaikan solat fardu berjemaah dengan kembali merapatkan saf selepas lebih setahun perlu dijarakkan.

Video secara langsung suasana jemaah di Masjidil Haram solat dengan saf dirapatkan yang disiarkan melalui media sosial turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang berharap situasi sama dapat dibuat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here