SPRM tahan 16 pengarah syarikat disyaki selewengkan dana MITRA

0
363

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi menahan 16 pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan melibatkan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menurut portal Malaysia Gazette, kesemua individu berusia antara 24 hingga 68 tahun itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Menurut sumber, dana yang diselewengkan bernilai jutaan ringgit.

“Siasatan kini menjurus kepada semua bentuk permohonan dan perbelanjaan dana itu yang disalurkan oleh MITRA sejak 2018 hingga sekarang.

“Kami menjangkakan, hampir 60 peratus daripada dana yang diserahkan kepada pihak syarikat, individu dan pertubuhan tidak sampai kepada kumpulan yang disasarkan,” kata sumber itu kepada Malaysia Gazette.

Sumber itu turut menambah, tiada sebarang program berkaitan diadakan, dan pihak yang menerima dana itu difahamkan turut gagal mengemukakan butiran perbelanjaan kepada pihak berwajib.

MITRA merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia khususnya golongan B40.

Difahamkan, dana yang diterima daripada MITRA itu diselewengkan bagi kepentingan beberapa individu.

Kesemua 16 yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman, pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(1) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here