Staf beramai-ramai dijangkiti Covid-19, sebuah hotel di Langkawi ditutup

0
202
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Sebuah hotel terkemuka di Langkawi ditutup sementara selepas 59 kakitangan termasuk ahli keluarga dijangkiti Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, sehingga kini seramai 249 individu sudah disaring dengan 59 daripadanya didapati positif wabak yang dikesan sejak Jumaat lalu.

Katanya, seramai 192 individu negatif dan tiga orang lagi masih menunggu keputusan.

“Pada 1 Oktober lalu, JKN melaporkan wujud Kluster Dah Teluk Nibung di Langkawi dan penularan kes itu dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.

“Sehingga hari ini, kluster ini membabitkan pekerja tempatan dan juga kontak rapat ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Othman berkata, siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja.

Katanya, berikutan itu, pengurusan hotel terbabit bersetuju menutup operasi secara sukarela.

“Semua kontak rapat sudah dikenal pasti dan menjalani ujian saringan Covid-19 serta diberi arahan Perintah Pemantauan Rumah (HSO) selama 10 hari. Sehingga kini, penularan jangkitan adalah terkawal,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here