Sudan: Darurat di seluruh negara, kerajaan dibubarkan

0
1082
PM Sudan, Abdalla Hamdok yang ditahan pihak tentera, dilaporkan sudah dipindahkan ke lokasi yang tidak didedahkan.

KHARTOUM – Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan mengistytiharkan pelaksanaan darurat di seluruh negara sekali gus membubarkan sistem pemerintahan negara itu.

Jeneral Abdel Fattah Abdelrahman al-Burhan ketika mengumumkan pelaksanaan perintah itu turut berkata, perbalahan antara parti politik menyebabkan pihaknya terpaksa campur tangan dan beliau berjanji akan memastikan proses peralihan negara mengikut lunas demokrasi.

Jeneral Abdel Fattah Abdelrahman al-Burhan

“Kita mengambil langkah-langkah ini demi melestarikan perjalanan revolusi Sudan sehingga semua sasaran tercapai.

“Ia sebagai mendorong negara ke arah yang benar-benar mengikut kepada lunas demokrasi melalui pilihan raya yang bebas dan telus.

“Jadi, untuk memperbaiki perjalanan revolusi, hal-hal berikut telah diputuskan. Yang pertama adalah dengan pengisytiharan darurat di seluruh negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan teknokrat baharu akan mengambil alih sementara Sudan sehingga proses pilihan raya selesai.

Terdahulu, pihak tentera dilaporkan menahan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan menteri kabinet lain dalam satu operasi siang tadi, dengan Abdalla dikenakan tahanan di rumah.

Bagaimanapun, maklumat menyebut Abdalla kemudiannya dipindahkan ke lokasi yang tidak didedahkan, setelah dia dilaporkan enggan menyokong tindakan pihak tentera menggulingkan kerajaan pimpinannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here