Tangguh PRN Melaka seperti PRN Sarawak-Najib

0
182
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu ditangguh sebagaimana PRN Sarawak.

Najib berkata, penangguhan itu mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang agak lama.

“Amat kecewa dengan dua ADUN UMNO, seorang ADUN PPBM dan seorang ADUN bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka.

“Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat.

“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masa yang begitu lama.

“Pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Semalam,  Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.

Ab Rauf berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutuskan surat kepada Mohd Ali selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri semalam.

Ia selepas empat orang ahli ADUN telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here