Tentera Darat tubuhkan pasukan inkuiri kaji aspek keselamatan, tadbir urus

0
114
AFFENDI

TAMPIN – Satu pasukan inkuiri akan ditubuhkan bagi melihat semula beberapa aspek, terutamanya berkaitan keselamatan dan tadbir urus Angkatan Tentera Darat.

Menurut portal Utusan Online, langkah itu adalah bagi mengelakkan kejadian amuk dan bunuh diri dalam kalangan anggota seperti yang berlaku di Sarawak, semalam tidak berulang.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang berkata, buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada pihak polis bagi melakukan siasatan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah.

“Kami tidak mahu ganggu siasatan polis, namun nanti kami akan buat sidang khas bagi jawab dan menerangkan kejadian ini supaya tiada salah faham.

“Tentera Darat juga sedang menunggu untuk menubuhkan pasukan inkuiri bagi menentukan daripada beberapa aspek operasi keselamatan dan tadbir urus pasukan serta tentera darat untuk tentukan kejadian tersebut tidak berulang,” kata Affendi pada sidang akhbar selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2021 yang diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini.

Semalam, seorang anggota tentera berpangkat lans koperal maut selepas bertindak menembak dirinya sendiri dalam kejadian amuk di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching, Sarawak.

Dalam kejadian itu, ibu mentua kepada suspek yang berusia lingkungan 50-an turut tercedera selepas terkena tembakan di bahu kirinya.

Suspek yang bertugas di Rejimen Sempadan ke-10 meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan hasil dua tahun perkahwinan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here