Tetap hadir mengajar di sekolah walaupun hilang kedua-dua kaki

0
63
Ahllayarham Ustaz Hatta Kaspin semasa hayatnya pernah menerima kaki palsu yang disumbangkan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

KLUANG – Demi mendidik anak bangsa, Allahyarham Ustaz Hatta Kaspin, 50, tetap hadir mengajar di sekolah walaupun berkerusi roda selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kg. Tengah, Hasnah Abd. Ghani, 58, berkata, itu antara pengorbanan Ustaz Hatta yang tidak akan dilupakan sepanjang mengenalinya.

Hasnah berkata, Ustaz Hatta tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik buat anak-anak walaupun pergerakannya agak terbatas.

“Sebelum ini, arwah akan dihantar oleh ibu dan bapanya yang sudah uzur untuk ke sekolah. Namun, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, dia sempat mengubahsuai kereta mengikut keadaan fizikal semasanya.

“Arwah akhirnya berjaya untuk memandu sendiri ke sekolah setiap hari. Itu membuktikan kesungguhannya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru di sini.

Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md Said Md Daimon menyerahkan Khairat Kematian kepada anak Allahyarham Ustaz Hatta Kaspin di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

“Memandangkan keadaan dia agak terbatas, kami di sekolah tempatkan bilik mengajarnya di dewan dan murid-murid akan ke sana untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama Ustaz Hatta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Allahyarham Ustaz Hatta yang meninggal dunia akibat kegagalan organ pada 28 Januari lalu meninggalkan dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Ismanorbiha Takati iaitu Hafizul Hazeq, 13 dan Hafizul Hares, 10.

Semalam, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md Said Md Daimon menyerahkan Khairat Kematian kepada anak arwah sebanyak RM27,004.18 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Guru Besar baharu SK Seri Kg. Tengah yang menggantikan Hasnah, Norizam Mohd Junid.

Dalam majlis penyerahan itu, Md Said yang juga Yang Dipertua Majlis PPD Kebangsaan turut menyerahkan borang penyertaan keahlian Skim Emas beliau kepada Wan Munadi sebagai tanda sokongan terhadap skim yang memberi perlindungan kepada warga pendidik sehingga mencapai umur 80 tahun.

Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md Said Md Daimon menyerahkan borang keahlian Skim Emas beliau kepada Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Sementara itu, Hasnah turut mengakui pemergian Ustaz Hatta sebagai satu kehilangan besar buat warga SK Seri Kg. Tengah memandangkan sehingga hari ini masih belum ada pengganti guru bagi subjek Bahasa Arab yang diajarnya.

“Sejujurnya, kami memang agak terkejut dengan pemergiannya awal tahun ini iaitu sebulan sebelum saya bersara tempoh hari. Memang kami tahu dia ada sakit kencing manis, tetapi keadaannya tidak menunjukkan dia begitu teruk sehingga boleh terus mengajar seperti biasa. Namun sudah tertulis, ajalnya sudah tiba,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Hasnah, Ustaz Hatta pernah menerima sumbangan dua kaki palsu daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) pada tahun 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here