Tiada kompromi kepada yang tidak patuh kebenaran rentas negeri

0
33
Hazani Ghazali

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan rentas negeri tanpa menerima dos vaksin Covid-19 lengkap.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan.

Hazani berkata, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, polis akan memberi tumpuan kepada lokasi-lokasi utama di setiap negeri agar tiada pelanggaran arahan tersebut.

“Kerajaan sudah mengumumkan individu yang mahu merentas negeri perlu lengkap divaksin. Polis tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi arahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani memberitahu, antara lokasi yang akan diberikan tumpuan pemantauan termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah dan lokasi tumpuan ramai.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan tidak akan menghalang individu yang tidak lengkap vaksin untuk merentas negeri kerana tidak mungkin dapat melakukan pemeriksaan di sempadan negeri.

Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan situasi semasa, Perdana Menteri semalam dalam pengumuman merentas negeri mengehadkan ke kebenaran itu hanya kepada mereka yang telah divaksin lengkap.

Kebenaran itu membolehkan orang ramai merentas sempadan negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pukul 12.01 pagi tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here