Tiada sekatan jalan raya untuk sekat golongan antivaksin rentas negeri

0
128
Anggota Polis memeriksa dokumen kebenaran merentas daerah atau negeri pemandu kenderaan pada Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Pusat Bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan melakukan sekatan jalan raya semata-mata untuk menghalang pergerakan individu yang enggan divaksin selepas rentas negeri dibenarkan kelak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pun begitu, pengkuatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh Majlis Keselamatan Negara masih akan dilakukan secara berterusan.

Khairy berkata, dengan penguatkuasaan itu, golongan yang enggan menerima vaksin tidak dapat menikmati kebebasan tertentu seperti memasuki restoran atau premis yang mewajibkan vaksinasi lengkap dua dos.

“Itu cara yang kita boleh kuatkuasakan SOP sedia ada. Kita tak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri, kerana ramai sudah tunggu. Takkan nak kata dapatkan permit polis dahulu.

“Kita sudah (hampir) 90 peratus (vaksinasi lengkap) dari kalangan penduduk dewasa, jadi sekarang ini adalah kawalan kendiri sahaja. Kawalan kendiri dan pemerkasaan individu dan pemerkasaan komuniti,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy memberi jaminan bahawa sekiranya golongan yang enggan menerima vaksin itu, atau lebih dikenali sebagai “anti-vaks”, cuba memasuki premis, mereka boleh dikenakan kompaun.“

“Saya minta pihak polis terus menjalankan Ops Patuh untuk kuatkuasakan SOP. Polis akan terus ke kedai makan secara rawak dan periksa, sama ada pelanggan itu vaksin atau tidak. Kalau tidak divaksinasi, kompaun akan dikenakan kepada pelanggan itu dan restoran atau pemilik premis.

“Itu cara kita akan buat pematuhan atau penguatkuasaan SOP sedia ada. Ramai tanya saya apa SOP rentas negeri? Nak rentas negeri, balik kampung jumpa ibu bapa tak ada SOP yang spesifik. Make sure you are sensible,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here