Tidak ada keperluan wujudkan satu lagi jawatan Timbalan YDP Dewan Rakyat – PN

0
31
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

CYBERJAYA – Tidak ada keperluan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat buat masa ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu dipersetujui oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang beliau pengerusikan.

“Kewujudan dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat,” kata Muhyiddin dalam kenyataan itu, hari ini.

Beliau kemudiannya menjelaskan, peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat pada masa ketiadaan Yang di-Pertua dan timbalan-timbalannya bagi tujuan kesempurnaan perjalanan mesyuarat itu.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-ahli Dewan Rakyat,” kata beliau lagi.

Kata Muhyiddin, PN berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan blok pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama, seperti yang terkandung di dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah ditandantangani antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri TYaakob dan pimpinann Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lepas.

“(Oleh itu) Pindaan Perlembagaan bagi menambah jawatan itu tidak termaktub dalam persefahaman tersebut.

“Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntuk pelaksanaannya,” jelas Muhyiddin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here