TUDM kesal tindakan portal muat naik gambar artis terlibat dakwaan kes jenayah berpakaian juruterbang

0
140
Gambar yang dimuat naik oleh beberapa portal dan blog.

CYBERJAYA – Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kesal dengan tindakan beberapa blog dan portal yang memuat naik gambar seorang artis yang didakwa dalam satu kesalahan jenayah sedang memakai pakaian juruterbang TUDM.

Kata TUDM dalam satu kenyataan hari ini, TUDM kesal kerana penggunaan gambar itu boleh memberikan kesan yang negatif.

“Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh beberapa media, blogger dan pengguna media sosial berkenaan seorang artis ditangkap kerana memliki dadah telah disensasikan dengan penggunaan gambar beliau berpakaian juruterbang TUDM.

“Isu ini telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta mencalarkan imej TUDM,” kata kenyataan itu hari ini.

TUDM turut menafikan artis itu pernah berkhidmat selaku anggotanya atau pernah menyertai Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Gambar beliau berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa beliau memegang watak sebagai Juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk ‘Gempur Wira’ yang disiarkan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2018,” kata TUDM.

Justeru, TUDM dalam kenyataan yang sama meminta supaya mana-mana media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan artis tersebut dengan TUDM dan memohon supaya pembetulan dibuat bagi mana-mana artikel yang telah dimuat naik.

“Pihak media, pengguna media sosial dan blogger diminta (supaya) lebih peka dan berhati-hati melibatkan penggunaan gambar untuk sebarang artikel yang dikeluarkan agar ianya tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarat serta yang boleh mencalarkan imej TUDM khasnya dan ATM keseluruhannya,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here