Vaksin Covid-19 negara masih di peringkat ‘proof of concept’

0
18
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Pembangunan vaksin Covid-19 negara kini sedang dalam peringkat makmal atau proof of concept (POC).

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, penyelidikan penghasilan vaksin itu meliputi teknologi inactivated virus seperti vaksin Sinovac dan jujukan genetik atau mRNA bagi vaksin Pfizer.

Beliau menjelaskan, pembangunan vaksin itu diterajui sepenuhnya oleh pakar tempatan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama pakar daripada Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan Veterinar.

“Penghasilan vaksin ini akan mengambil masa untuk mencapai tahap keselamatan dan keberkesanan melalui ujian klinikal fasa ketiga serta mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA).

“Penyelidikan vaksin ini (Covid-19) satu bidang baharu di negara ini dan ia (vaksin) boleh digunakan selepas keputusan ujian klinikal terhadap haiwan dan manusia menunjukkan ia selamat dan berkesan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai perkembangan semasa pembangunan vaksin Covid-19 pertama negara yang dimulakan sejak November tahun lepas.

Menjawab soalan Mohd Salim mengenai kos pembangunan vaksin, Aaron Ago berkata, anggaran kos awal bagi peringkat POC itu sekitar RM1 juta hingga RM2 juta, manakala praklinikal dijangka melibatkan RM3 juta hingga RM4 juta.

“Selepas ini terdapat pelbagai lagi peringkat penghasilan vaksin dan pengilangan serta pemasarannya yang memakan kos jutaan ringgit, justeru kita harap usaha ini bukan sahaja disokong dengan dana kerajaan tetapi penglibatan daripada sektor swasta juga,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here