1.8 peratus penjawat awam enggan divaksin, boleh disekat kenaikan gaji dan pangkat

0
222
Doktor yang bertugas memberikan suntikan vaksin kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR- Sekat kenaikan gaji dan pangkat antara tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan atau belum menerima vaksin Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad bagaimanapun berkata, setakat ini kerajaan belum mengambil apa-apa tindakan disiplin.

Abdul Latiff berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1.8 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih enggan menerima vaksin berkenaan.

“Hari ini 10 November iaitu 10 hari selepas ia (pengambilan vaksin Covid-19) dikuatkuasakan, namun tiada sebarang tindakan (disiplin) diambil,” katanya ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan statistik penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh selepas JPA mewajibkan pengambilan vaksin itu mulai 1 November lalu.

Menjawab soalan tambahan Foong Hin yang mahu tahu mengenai tindakan setimpal ke atas kakitangan awam yang enggan menerima suntikan vaksin, Abdul Latiff berkata, tindakan dibuat berdasarkan udang-undang yang terpakai dalam JPA bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terganggu.

“Tindakan disiplin yang akan diambil ada prosesnya terutama sekali ketua jabatan perlu utus surat tunjuk sebab dan penjawat awam yang terlibat diberi tempoh 21 hari untuk jawab.

“Jika jawapan diterima tidak memuaskan, satu jawatankuasa disiplin akan dibentuk di peringkat jabatan itu untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya.

Tambahnya, antara yang boleh diambil termasuk memberi amaran, celaan, menyekat kenaikan gaji, pangkat dan sebagainya, namun proses perlu dilakukan dengan sebaiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here