
MELAKA- Sebanyak 89.90 peratus 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada hari ini sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi PRN Melaka mula dibuka jam 8 pagi bagi membolehkan pengundi awal terdiri anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab mereka.
Daripada jumlah itu, 24 pusat mengundi awal dibuka khusus untuk anggota polis, manakala tujuh pusat lagi, dengan empat daripadanya berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, membabitkan pengundi tentera dan pasangan.
Sepnjang proses pengundian awal, SPR meminta pengundi mematuhi panduan pencegahan Covid-19 seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, menjalani pemeriksaan suhu badan serta merekodkan kehadiran.