18 penuntut UPNM didapati bersalah, keputusan belum diumumkan hakim

0
141
Zulfarhan Osman (kiri) yang meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

KUALA LUMPUR – Enam daripada 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Manakala 12 penuntut lain didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham.

Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah hari ini.

Memetik laporan Awani, mahkamah ketika ini berehat sebentar dan Hakim akan mengumumkan hukuman dikenakan kepada semua tertuduh selepas mahkamah bersidang semula.

Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Okt 2019.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here