476,037 layak mengundi PRN Melaka Sabtu ini

0
8
Gambar hiasan

MELAKA- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menyeru seramai 476,037 individu yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19.

“Pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui beberapa saluran, antaranya portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pemilih.

“SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” jelasnya.

Selain itu jelasnya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here