Kadar pengangguran mula turun – Jabatan Perangkaan

0
32
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kebenaran merentas negeri dan pembukaan semula operasi di sektor ekonomi menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran daripada 4.6 peratus kepada 4.5 peratus pada September lalu berbanding bulan sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr, Mohd Uzir Mahidin, berlaku pemulihan dan pertambahan pada kadar tenaga kerja buruh yang baik pada September dengan trend pengangguran yang menurun.

Katanya, salah satu daripada faktor yang menyumbang kepada perkembangan itu adalah peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan dijalankan.

“Kebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi juga menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan dikaji.

“Semua situasi positif ini mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentumnya dan kembali kukuh,” katanya dalam laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia.

Mohd Uzir berkata, kadar pengangguran pada September terus menyusut kepada 4.5 peratus yang bersamaan dengan jumlah 729,600 penganggur setelah mencatatkan 4.6 peratus pada Ogos 2021.

“Ia melibatkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.46 juta orang berbanding Ogos iaitu 15.38 juta orang.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk turut meningkat kepada 65.5 peratus daripada 65.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sementara itu, bilangan penganggur merekodkan penurunan bagi bulan kedua iaitu sebanyak 2.6 peratus merekodkan 729,600 orang daripada 748,800 orang bulan sebelumnya,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja di sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here