Ah Sem mahu bina Masjid di Machap Jaya

0
179
Calon BN di DUN N.08 Machap Jaya, Ngwe Hee Sem

AYER KEROH – Membina masjid dan perumahan kos rendah menjadi tumpuan calon Barisan Nasional (BN) DUN N.08 Machap Jaya, Ngwe Hee Sem di kawasan berkenaan.

Beliau yang mesra disapa sebagai Ah Sem berkata, dua fokus utama tersebut merupakan hasil maklum balas yang diterimanya daripada penduduk kawasan berkenaan

Ah Sem berkata, ketika dirinya beramah mesra dengan penduduk di sekitar kawasan Machap Jaya, beliau menerima maklum balas mengenai pembinaan masjid baharu.

“Ramai penduduk mendakwa tidak mempunyai tempat yang cukup untuk melakukan ibadah keagamaan.

“Ada beberapa kawasan yang pesat membangun seperti Lesung Batu, Taman Melaka Perdana, Pengkalan Indah dan Kampung Melaka Pindah, jadi memang tidak cukup bagi orang Islam beribadah.

“Mereka ada permintaan, jika saya diberi mandat saya akan usaha dapatkan satu masjid baharu di DUN Machap Jaya,” katanya ketika sesi beramah mesra dengan pengamal media di sini hari ini.

Mengenai perumahan kos rendah, Ah Sem berkata, beliau mahu membangunkan kawasan perumahan kos rendah memandangkan ada kalangan penduduk di Hutan Percha dan kawasan Felda yang terdiri daripada peniaga kecil.

“Jika kita hendak elakkan penduduk kawasan ini keluar berhijrah, kita perlu wujudkan perumahan yang kosnya rendah bagi membolehkan mereka membina keluarga dan menetap di kawasan itu.

“Selain memajukan projek perumahan, saya mahu memastikan sebarang projek terbengkalai disambung semula,” katanya.

Ah Sem berdepan saingan enam penjuru di DUN Machap Jaya melibatkan calon Perikatan Nasional (PN), Tai Siong Jiul, Law Bing Haw daripada Pakatan Harapan (PH), Abdul Aziz Osani Kasim (Parti Perikatan India Muslim Nasional) dan Azlan Daud (Bebas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here