Anggota pentadbiran negeri Kedah terima ‘hadiah’ khas RM1,000

0
42
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri ini akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan atas sumbangan dan pengorbananan menjalankan tugas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perkara itu semasa membentangkan Bajet Kedah 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Beliau berkata, melalui bajet bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ itu, kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam yang menjalankan tugas dalam suasana kerja terhad khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhammad Sanusi berkata, komitmen semua pihak khususnya penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri menjadi kunci urusan kerajaan berjalan lancar dan kutipan hasil negeri yang telah meningkat.

“Tahun 2021 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang melanda negeri Kedah. Seluruh jentera pentadbiran awam negeri sentiasa bekerjasama dan memberi komitmen yang tinggi semasa pengurusan bencana ketika krisis pandemik Covid-19.

“Penglibatan jentera awam negeri bagi menguruskan PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana), PPV (Pusat Pemberian Vaksin), PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) dan PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan), telah memudahkan pelbagai penyaluran bantuan.

“Kerajaan negeri menghadapi bencana banjir di beberapa daerah disebabkan hujan lebat luar jangka dan fenomena air pasang besar. PKOB Daerah diaktifkan 24 jam dan beberapa pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi membantu mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengharapkan pemberian itu dapat menyuntik semangat semua penjawat awam negeri untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here