Anwar terima kekalahan pada PRN Melaka

0
40
ANWAR IBRAHIM

CYBERJAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima hakikat kekalahan teruk partinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan menerimanya dengan sepenuh hati.

Selaku ketua dalam gabungan itu, beliau perlu memikul tanggungjawab, katanya.

“Masalahnya sebagai ketua (PH) saya kena pikul tanggungjawab. Kadang-kadang bila buat begitu tak diceritakan perkara sebenar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘Jejak-jejak Pencerahan Umat’ karya Datuk Dr. Muhammad Nor Manuty, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menganggap gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen yang mahu beliau mengundurkan diri, hanyalah pandangan semata-mata.

“Itu (cuma) pandanganlah, kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh, jadi menimbulkan reaksi yang tidak baik dalam kalangan ahli lain.

“Jadi itu yang kita kena jaga, kita (Lee Chin Chen) tahu sikit sahaja terus buat rumusan, (dia) patut lihat semua aspek kerana dia (PRN Melaka) tak semudah itu. Kita jumpa di kampung macam mana pandangan orang lain, masyarakat Cina India dan Melayu di mana ada beberapa kegelisahan,” katanya lagi.

Anwar mahu individu-individu yang mendesaknya meletakkan jawatan mencari punca sebenar kenapa PH menerima dua bekas wakil rakyat UMNO menjadi calon bagi gabungan itu.

Justeru, mereka seharusnya melihat fakta sebenar yang berlaku sebelum PH kalah teruk di Melaka.

“Yang usulkan supaya empat orang (bekas ADUN UMNO) itu menyokong PH adalah pimpinan PH Melaka, Ketua Amanah (Melaka), Ketua PKR (Melaka) dari DAP Melaka mereka yang usulkan, peringkat awal kita tak setuju tetapi mereka yakin dengan cara ini mereka kata, ini untuk kembalikan mandat PH.

“Dia kata kita harus hormat orang dua (bekas ADUN UMNO) ini, kali kedua PH masih tak setuju kerana ada kata mereka akan belot kemudian (hari), kemudian bila bubar, sebelum bubar orang ini kata tak berganjak walaupun dipelawa oleh UMNO, sebab itu bila bubar kita ada masalah, macam mana kita boleh ketepikan (bekas empat ADUN UMNO) dan buang (mereka) itu masalahnya orang itu memang tak fikir semua,” katanya.

Kedua-dua bekas ADUN UMNO yang dimaksudkan adalah Datuk Seri Idris Haron yang bertanding di DUN Asahan dan Datuk Nor Azman Hassan yang bertanding di DUN Pantai Kundor.

Kedua-duanya bagaimanapun gagal memenangi kerusi yang mereka tandingi, Sabtu lalu.

Untuk rekod, PH hanya memperoleh lima kerusi dengan empat daripadanya datang daripada DAP iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, DUN Kota Laksamana, DUN Bandar Hilir dan DUN Ayer Keroh.

Amanah hanya memenangi satu kerusi iaitu kerusi DUN Bukit Katil dan hilang kerusi DUN Durian Tunggal.

Lebih mengejutkan, PKR yang bertanding 11 kerusi iaitu DUN Lendu, DUN Machap Jaya, DUN Rembia, DUN Kelebang, DUN Paya Rumput, DUN Asahan, DUN Rim, DUN Tanjung Bidara, DUN Sungai Udang, DUN Ayer Molek dan DUN Sungai Rambai kalah semua kerusi.

Pada PRU-14 lalu, PKR menang tiga kerusi iaitu DUN Machap Jaya, DUN Rembia dan DUN Kelebang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here