Bapa Allahyarham Zulfarhan maafkan semua tertuduh

0
350
Zulkarnain Idros dan isteri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Foto Harian Metro.

KUALA LUMPUR – Bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman meluahkan kemaafan kepada semua tertuduh yang menyebabkan kematian anaknya dalam kejadian buli, kira-kira 4 tahun lalu.

Zulkarnain Idros, 57, berkata, walaupun hatinya berat untuk berbuat demikian namun beliau tidak mahu memutuskan silaturrahim akibat kejadian itu.

Dalam pengakuannya, beliau menyeru orang ramai supaya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan mencegah perbuatan buli dalam masyarakat.

Namun Zulkarnain ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya kerana tiada keluarga rakan sepengajian anaknya yang datang bertemu beliau.

“Hanya satu keluarga sahaja yang datang berjumpa saya untuk memohon maaf, secara jujurnya saya sudah maafkan tertuduh yang buat anak saya.

“Janganlah begitu. Seolah-olah anak saya yang bersalah. Jangan putuskan silaturrahim.

“Cuma saya pesan kepada masyarakat di luar sana jangan jadi pembuli, tengoklah kesannya kepada keluarga kami yang kehilangan anak yang menjadi harapan keluarga,” katanya kepada media di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh ke atas Zulfarhan pada 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali selepas mereka didapati bersalah mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Mereka berenam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here