BN diramal menang tipis PRN Melaka – Ilham Centre

0
65
Gambar hiasan

MELAKA – Parti Barisan Nasional (BN) diramalkan akan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) menjelang hari mengundi esok.

Menurut Pusat penyelidikan bebas, Ilham Centre, menuju saat-saat akhir fasa kempen, BN mendahului di hadapan berbanding dua gabungan itu.

“Pada cerapan kami, BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim manakala PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.

“Terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon. Kawasan ini terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini.

“10 kawasan tersebut ialah Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menjamin kemenangan, katanya, BN
perlu mencari sekurang-kurangnya empat Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan daripada 10 kawasan panas tersebut untuk melengkapkan majoriti mudah.

Di pihak lain, katanya, PH perlu mempertahankan kawasan yang dimenangi mereka dahulu agar tidak terlepas kepada BN mahupun PN.

“PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban. Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN ataupun PH.

“Tetapi kami melihat semakin besar PN mencuri undi Melayu di dalam kawasan ini, semakin tinggi peluang kemenangan PH di atas faktor pertembungan tiga penjuru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here