BN janji 3 fokus pembangunan di Lendu

0
34
Calon BN bagi kerusi N.04 Datuk Seri Sulaiman Md Ali tiba di Pusat Penamaan Calon bagi (N04) Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di Masjid Tanah, Melaka hari ini.

MASJID TANAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Lendu (N.04), Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan memfokuskan tiga aspek pembangunan sekiranya diberi mandat memerintah di Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandinginya.

Beliau berkata, antara yang akan diberi tumpuan adalah pembinaan lebih banyak institusi pendidikan, jaringan jalan raya yang lebih meluas dan sukan untuk golongan belia.

“Semua pembangunan ini sejajar dengan pelan strategik Melakaku Maju Jaya 2035 yang sedia ada dan turut terangkum di kawasan Lendu.

“Kita akan menambah satu lagi pusat pengajian tinggi, pembangunan jaringan jalan raya antara daerah-daerah dan kampung selain fokus dalam sukan ekstrem.

“Sekiranya diberikan sekali lagi mandat oleh rakyat kepada BN, sudah pasti lebih banyak lagi perancangan yang akan terlaksana,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon DUN N.04 di Dewan Kompleks Japerun Lendu, di sini hari ini.

Reaksi calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) bersama Calon Pakatan Harapan N.04 Lendu, Mohamad Asri Ibrahim (kanan) dan Mejar Abdullah Mahadi dari PN (Bersatu) selepas proses penamaan calon N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah, pagi ini.

Sehubungan itu Sulaiman berkata, beliau menyerahkan kepercayaan dan kebijaksanaan rakyat untuk memilih calon terbaik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Mengulas pertembungan tiga penjuru dengan calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, beliau menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang positif dan sudah dijangka.

“Harapan saya adalah supaya semua calon mematuhi peraturan berkempen seperti yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Mengulas mengenai strategi berkempen ekoran larangan aktiviti kempen secara bersemuka, beliau berkata akan memanfaatkan sepenuhnya kempen secara dalam talian.

“Kita akan memberi tumpuan dan memperkuatkan kempen melalui unit-unit media yang ada di bawah jentera BN,” katanya.

Sulaiman turut menolak pertandingan 3 penjuru yang bakal dihadapi di kerusi itu sebagai ‘heavyweight melawan underdog’, sebaliknya mengakui dirinya juga sebagai calon underdog.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, Sulaiman memenangi kerusi itu dengan majoriti 627 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Sulaiman hilang majoriti pada awal bulan ini selepas gerakan empat ADUN iaitu Idris, Nor Azman, Norhizam dan Noor Effandi untuk keluar dari blok kerajaan susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, sekali gus menyebabkan DUN Melaka terbubar bagi memberi laluan kepada PRN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here