BN lancar manifesto PRN Melaka

0
31
Mohamad Hassan bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada pelancaran manifesto yang diadakan secara maya, sebentar tadi.

MELAKA – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang mengandungi lima teras utama.

Lima teras utama itu ialah mengekalkan kestabilan politik menerusi agenda meraikan politik yang matang, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu serta pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto yang digarap untuk PRN kali ini cukup realistik dalam konteks pelaksanaannya.

Beliau berkata, manifesto ini dirangka berdasarkan keperluan rakyat Melaka yang dikehendaki sebenar-benarnya.

“Sebagai kelangsungan kepada tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’, BN mengangkat aku janji yang sekali gus menjadi ikrar kami kepada rakyat Melaka dengan berpandukan lima teras utama.

“Hasil daripada pembangunan dirancang akan mendatangkan manfaat kepada rakyat. Episod lalu telah membuka mata kepada kita bahawa ketidakstabilan berlaku bukan disebabkan oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar, sebentar tadi.

Sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri, kata Mohamad Hasan, BN akan memberikan peruntukan yang sama kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Semua wakil rakyat yang dipilih bekerja untuk rakyat di segenap pelusuk negeri.

“Oleh itu, kami berjanji akan menyediakan peruntukan buat semua 28 wakil rakyat bagi memastikan kesejahteraan semua penduduk Melaka, tanpa mengambil kira fahaman politik,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here