BN menang, Sulaiman selesai angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka

0
221
Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN menang PRN Melaka

MELAKA- Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri malam tadi.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama kira-kira pukul 12.58 tengah malam.

Hadir sama isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Turut hadir menyaksikan acara angkat sumpah itu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan tersebut pada tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here