BN yakin menang 18 kerusi DUN dalam PRN Melaka

0
31
Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dalam sidang akhbar hari ini.

MELAKA- Barisan Nasional (BN) yakin mampu menang lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, keyakinan itu berdasarkan penerimaan baik pengundi terhadap BN di 28 kawasan DUN sejak hari pertama kempen digerakkan.

Beliau yang merupakan calon BN di DUN Lendu berkata, jentera BN sudah menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mendekati pengundi di semua kerusi.

“Alhamdulillah penerimaan pengundi baik sejak hari pertama kempen dan diharap dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Sulaiman, esok merupakan penentu landskap politik dan pentadbiran kerajaan Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat diharap memilih BN yang mempunyai ‘track record’ yang baik dalam memperjuangkan agenda rakyat selama lebih 60 tahun.

“Parti yang stabil dan berpengalaman memudahkan dasar kerajaan yang tertangguh sebelum ini diteruskan semula,” katanya.

Pada PRN kali ini, seramai 476,037 pengundi daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar akan menjalankan tanggungjawab esok.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 adalah pengundi awal dan 7,601 mengundi secara pos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here