Caj 5G lebih murah berbanding 4G

0
24
5G

KUALA LUMPUR-  Harga atau caj perkhidmatan 5G pada masa hadapan dijangka jauh lebih rendah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabit untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap Gigabit 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi.

“Tambahan lagi, DNB akan melaksanakan rangkaian 5G melalui rangkaian borong tunggal atau ‘single wholesale network’ (SWN) bagi tujuan ini.

“Kerajaan sedar isu serta cabaran telekomunikasi SWN di negara lain dan telah mengambil langkah untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berlaku di Malaysia.

“Melalui model ini, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tepoh 10 tahun akan datang atau kira-kira purata RM350 hingga RM400 juta setahun.

“Ini adalah jauh lebih rendah daripada jumlah RM1 bilion iaitu perbelanjaan modal untuk 4G yang dilaburkan oleh syarikat telekomunikasi setiap tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu sama ada caj 5G akan lebih murah berbanding penggunaan 4G.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata syarikat telekomunikasi akan mendapat penjimatan lebih dari 50 peratus dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna.

Malah katanya, syarikat telekomunikasi juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham mereka.

“Selain daripada kos yang lebih rendah dan tanpa modal perbelanjaan yang ketara, syarikat telekomunikasi juga akan dapat menyampaikan perkhidmatan 5G lebih awal berbanding dengan sekiranya mereka melancarkannya sendiri,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here