CAP dakwa harga sayuran naik hingga 200 peratus

0
36
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Antara sayuran yang didakwa mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga yang naik dari RM7 kepada RM16 sekilogram, sawi pendek yang sebelum ini berharga RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20; dan sawi dari RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari harga RM8 kepada RM15 sekilogram; kubis RM4 kepada RM6; cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pihaknya menerima aduan daripada peruncit mengenai kenaikan harga barangan berkenaan.

Beliau berkata, beberapa peruncit turut mengadu pengedar dan pemborong turut memberi amaran bahawa harga sayur-sayuran lain mungkin akan naik dalam beberapa minggu akan datang.

“Sehubungan itu, kami menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

“Kami berharap Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP menyiasat kenaikan harga berkenaan memandangkan ia akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah,” kata Mohideen dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Tambah Mohideen, tindakan tegas perlu diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.

“CAP juga berulang kali menyeru supaya FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi seruan kami tidak didengari,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here