Che Ta, suami gembira dapat tunai tanggungjawab sebagai pengundi untuk kali ke-15

0
23
Fajar Hasan dan Che Ta Matsom menunjukkan tanda calitan di jari selepas membuang undi di SK Durian Tunggal hari ini.

MELAKA – Meskipun terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda, pasangan warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Fajar Hasan, 91, dan isteri, Che Ta Matsom, 89, tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Kedua-dua pasangan itu yang dibawa menggunakan kereta oleh petugas pilihan raya ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal di sini gembira apabila dapat mengundi untuk kali ke-15 walaupun dalam suasana norma baharu.

Fajar yang juga bekas kakitangan RTM Melaka berkata, dia dan isterinya mengundi sejak tahun 1956 dan hari ini adalah kali pertama mereka mengundi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Keluar mengundi hari ini okay, saya dah selalu keluar mengundi dah masuk umur 91 tahun pun.

“Saya dan isteri tinggal di Padang Keladi, peraturan semua okay, kita kena patuh SOP, pakai pelitup muka,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Dalam pada itu, Che Ta berkata, meskipun perlu mengikut SOP yang ketat, perjalanan untuk melakukan proses membuang undi berjalan lancar, mudah dan cepat.

Katanya lagi, meskipun kes Covid-19 masih tinggi, mereka tetap mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Alhamdulillah, makcik tak rasa apa-apa (bimbang) dan yakin untuk keluar mengundi,” katanya yang tinggal berdua bersama suaminya itu.

Pasangan warga emas itu adalah antara 476,037 rakyat Melaka yang didaftar sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, hari ini.

DUN Durian Tunggal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Zahari Abd Kalil yang berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Ja’afar Othman, penyandang iaitu Datuk Mohd Sofi Abd Wahab daripada Pakatan Harapan (PH) dan Mohd Erfan Mahrilar (Bebas).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here