Chef Casa de Madani menang emas di FHC 2021

0
152
Nik Jasmira Jamaludin

CYBERJAYA- Commis Chef di Restoran Casa de Madani, Nik Jasmira Jamaludin mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul pingat emas dalam pertandingan Food & Hospitality China 2021 (FHC-2021).

Dalam pertandingan yang berlangsung serentak di seluruh negara pada 23 Oktober lalu, Nik Jasmira, 24, berjaya mengalah 1,200 peserta lain selepas mengutip markah secara keseluruhan sebanyak 96 peratus.

Nik Jasmira berkata, sebanyak 20 chef dari setiap negara menyertai pertandingan itu dan ianya diadakan serentak di negara masing-masing dengan Pulau Pinang menjadi tuan rumah untuk Malaysia.

Nik Jasmira menyediakan hidangan ketika ditemui di Casa de Madani.

“Format pertandingan ialah kami perlu menyediakan dua hidangan iaitu ‘appetizer’ dan ‘main course’. 80 peratus markah akan dinilai oleh juri di Malaysia dan 20 peratus lagi dinilai oleh juri pihak penganjur dari China.

“Alhamdulillah, selepas menjalani latihan dan sebagainya, segala usaha saya berbaloi apabila berjaya merangkul emas dalam FHC 2021. Bagi saya ini adalah permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

“Saingan dalam pertandingan ini sangat sengit kerana disertai 1,200 orang peserta dari seluruh negara, lebih-lebih lagi pertandingan dibuat secara berasingan di negara masing-masing,” katanya kepada Malakat Tribune.

Appetizer yang disediakan Nik Jasmira dalam FHC 2021

Menurut Nik Jasmira, untuk appetizer dia menyediakan Pan Seared Salmon/Salmon Tartare/Prawn Terrine With Seaweed dan Pistachio Powder/ Charcoal Crouton/Mix Salad With Honey Mustard/Crustacean Foam.

Untuk main course pula katanya, dia menyediakan hidangan 63 ºc Duck Breast/Duck And Couscous Croqquette/Garlic Aioli/Farden Vegetables/Orange Ginger Sauce untuk memikat pemarkahan juri bagi menjuarai pertandingan tersebut.

Main Course yang disediakan Nik Jasmira dalam FHC 2021

Selain itu Nik Jasmira yang memulakan kerjaya di Casa de Madani sejak Mac lalu berkata, setiap peserta diberikan masa sebanyak 1 jam 30 minit untuk menyediakan kedua-dua hidangan berkenaan.

“Antara cabaran yang saya perlu lalui untuk menyertai pertandingan ini ialah perlu membahagikan masa untuk bekerja, berlatih dan juga belajar,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Gastronomy di UiTM Puncak Alam.

Nik Jasmira meletakkan sasaran untuk menjadi chef terkemuka dalam suatu hari nanti

Sementara itu Nik Jasmira mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dan barisan chef terkemuka di Casa de Madani yang banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepadanya dalam dunia masakan sehingga bergelar juara dalam FHC 2021.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas Executive Chef di Casa de Madani Mohd. Shahrul Nizam Zulkifli yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, dia juga banyak berkorban untuk memberi bimbingan kepada saya.

“Dalam dunia masakan ini, saya meletakkan sasaran untuk menjadi chef terkemuka suatu hari nanti. Insya-Allah saya akan berusaha lebih gigih untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Muhammad Nurahiman bersama Nik Jasmira berbangga dapat mkengharumkan nama UiTM dan Casa de Madani di peringkat dunia.

Dalam pada itu, dalam pertandingan yang sama, bekas pelajar praktikal di Casa de Madani dari UiTM Pulau Pinang, Muhammad Nurahiman Jokepli turut merangkul Perak selepas mendapat tempat kedua di belakang Nik Jasmira.

Muhammad Nurahiman ketika ditemuio Malakat Tribune mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Casa de Madani termasuk Pengarah Kulinari Malakat Food Sdn Bhd, Mohd Azizan Shukri yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here