Culas bayar nafkah, akaun boleh disekat

0
39
Dr Mohd Na’im Mokhtar

CYBERJAYA – Akaun bank suami atau bekas suami yang culas dalam pembayaran nafkah isteri dan anak bakal disekat, kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tindakan itu katanya bertujuan untuk memastikan isteri, bekas isteri serta anak tidak dizalimi oleh pasangan atau bekas pasangan yang bersikap lepas tangan.

Mohd Na’im berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan Bank Negara Malaysia dan institusi perbankan untuk pelaksanaannya.

Ketika ini, kata beliau, JKSM sedang mempersiapkan pegawai Bahagian Sokongan Keluarga (BKS) dengan kemahiran yang betul supaya tidak berlaku kesilapan dalam penguatkuasaan dan pelaksanaan berkaitan sekatan akaun tersebut.

Tambah beliau, pemerkasaan kemahiran perlu ada dalam kalangan pegawai agar usaha menyekat akaun suami yang culas dapat dilaksanakan secara adil dan saksama, lapor Sinar Harian.

“Kita akan pastikan pegawai di BKS yang bertanggungjawab menguatkuasa dan melaksanakan perintah nafkah ini untuk mendapatkan latihan yang secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di Ipoh hari ini.

Perasmian kolokium tersebut disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mewakili Menteri Besar Perak.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here