Dewan Rakyat: 42 Ahli Parlimen bahaskan Bajet 2022

0
12

CYBERJAYA – Seramai 42 Ahli Parlimen telah mengambil bahagian membahaskan Bajet 2022 pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat.

Bernama melaporkan, sesi perbahasan dimulai oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lepas yang antara lain meminta kerajaan menjelaskan dengan telus mengenai perbelanjaan projek-projek ‘off budget’.

Selain itu, bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan supaya menaikkan had maksimum pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada RM10,000, sementara Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan menyemak semula peruntukan dalam belanjawan itu bagi mengurangkan beban hutang negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Bajet 2022 pada 29 Oktober lepas dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM332.1 bilion untuk menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan.

Sementara itu, pada Selasa, Ahli-ahli Parlimen mula mendapat suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pemberian dos penggalak itu adalah bagi memastikan keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum kerana mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir.

Pada persidangan kali ini, kerajaan turut membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi bacaan kali pertama.

Dewan Rakyat tidak bersidang pada hari ini berikutan sambutan Deepavali dan hanya akan bersambung kembali pada Isnin minggu hadapan.

Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat, Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat dasar dijadualkan hingga 11 November depan sebelum sesi penggulungan oleh kementerian-kementerian berkenaan selama empat hari bermula pada 15 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here