Di Malaysia purata 50 orang mati setiap hari sebab sakit jantung – Statistik

0
89
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Penyakit jantung terus menjadi pembunuh nombor satu dalam kalangan rakyat Malaysia apabila merekodkan jumlah kematian tertinggi pada tahun lalu berbanding penyakit-penyakit lain.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berdasarkan statistik pada tahun lalu, ‘ischaemic heart diseases’ atau penyakit jantung koronari kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.

“Sebanyak 166,507 kematian direkodkan pada 2020 yang mana 109,155 (65.6 peratus) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 57,352 (34.4 peratus) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan.

“Ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,515 kematian atau 17 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan. Ianya menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang mana telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada kepada 17 peratus pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, penyakit tersebut banyak menyerang golongan lelaki dengan 12,707 (68.6 peratus) kes kematian manakala perempuan adalah 5,808 kes (31.4 peratus).

Pada masa sama, katanya, penyakit itu juga merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana etnik Bumiputera (16.6 peratus), Cina (16 peratus) dan India (22.8 peratus).

“Di peringkat negara ASEAN, penyakit ini juga merupakan sebab kematian utama bagi Singapura, Thailand dan Filipina. Trend yang sama juga turut dicatatkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom dan Australia.

“Amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan ischaemic heart diseases pada masa kini. Ini disokong oleh kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, iaitu Malaysia dikategorikan sebagai bukan negara sihat berdasarkan kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan rakyat yang masih berada di tahap rendah yang mana kadar pesakit jantung dan obesiti yang agak tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.4 peratus diikuti penyakit cerebrovascular atau penyakit pembuluh darah di otak (8.3 peratus), kemalangan pengangkutan (3.8 peratus) dan malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung (2.9 peratus).

“Selain daripada lima sebab kematian utama, statistik juga menunjukkan bahawa kematian yang disebabkan oleh kanser turut meningkat sejak tahun 2000 dengan 11.6 peratus pada tahun 2000 kepada 15.5 peratus pada 2020.

“Kematian disebabkan oleh Covid-19 merupakan sebab kematian baharu yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 471 kematian atau 0.3 peratus daripada 166,507 kematian.

“Sabah merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 265 kematian manakala Terengganu merekodkan kematian terendah iaitu hanya satu kematian,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here