Dianggap kumpulan Islamik, apa sahaja isu mengenai Malakat selalu ‘panas’

0
295
Mohd. Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Persepsi atau tanggapan orang ramai yang mengaitkan Kumpulan Malakat sebagai satu jenama perniagaan Islam menyebabkan organisasi itu terdedah kepada banyak tohmahan dan fitnah.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, lebih menyedihkan kebanyakan daripada tuduhan yang dilontarkan itu hanya datang dari bekas kakitangan yang meninggalkan syarikat secara ‘terpaksa’.

Beliau berkata, sebagai majikan, syarikat memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi segala tuduhan yang diperbesarkan melalui media sosial jauh menyimpang dari perkara sebenar.

“Saya tidak tahu, mungkinlah orang di luar sana beranggapan Malakat ni mesti perfect, Islamik dan tiada orang jahat.

“Atas sebab itu, apa sahaja berkaitan dengan syarikat ini akan jadi panas, walhal yang buat tuduhan itu terdiri daripada beberapa kerat sahaja. Mereka pun tiada apa-apa bukti.

“Sedangkan kami di sini ada 1,500 kakitangan yang masih kekal bersama kami. Kalau betul kami kejam dan jahat, mereka takkan bersama kami,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Live Facebook bertajuk ‘Ramai Yang Tidak Bersyukur’ dari Istanbul, Turki, semalam.

Mohd. Fadzil berkata demikian sebagai mengulas tuduhan seorang pengguna Twitter berhubung kejadian pergaduhan melibatkan seorang pegawai dengan kakitangan di Malakat Mall, baru-baru ini.

Beliau yang menjelaskan tindakan pegawai pusat beli belah itu berkata, kejadian itu berlaku selepas salah seorang kakitangan bersikap kurang ajar kepada pelanggan.

“Kepada orang yang lontar tohmahan kepada Malakat ni kejam dan jahat.. Kita tidak boleh tolerate orang yang kurang ajar apatah lagi dengan pelanggan,” katanya.

Menurut Mohd. Fadzil, sebagai majikan beliau tidak pernah memberhentikan kakitangan kecuali mereka yang mempunyai masalah disiplin.

Sebagai contoh katanya, semasa awal penubuhan Malakat Mall, beliau membuat lantikan perjawatan berdasarkan kepercayaan pada individu yang dirasakan berpengalaman dalam sektor peruncitan.

“Bila kita lantik mereka, mereka ambil pekerja sesuka hati mereka. Sehingga kita overhire, termasuk di Masjid Tanah, Melaka.

“Tapi kita tidak pernah buang mana-mana pekerja, sebab prinsip perniagaan kita bukan keuntungan tapi untuk cari keberkatan,”

“Begitu juga dengan pembayaran gaji. Kita tidak pernah tidak bayar kecuali berlaku kelewatan akibat cash flow ‘sakit’.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menasihatkan kakitangan syarikatnya dan orang ramai supaya mendalami erti syukur untuk merasai nikmat rezeki yang diberikan Allah kepada hamba-Nya.

“Prinsip saya senang, bagi sesiapa yang tidak serius atau bersikap ‘aku bekerja sekadar sementara atau merasakan tidak begitu berkehendak kepada peluang yang diberikan, tolong berhenti kerja.

“Tidak kira di mana sahaja organisasi anda berada, sebab itu tidak akan membantu organisasi anda, anda umpama kanser yang merebak dan akan membinasa organisasi anda sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here