DUN Sarawak bubar berkuatkuasa 3 November-Abang Johari

0
11
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg

KUCHING – Dewan Undangan Negeri Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Abang Johari berkata, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembubaran DUN Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya negeri Sarawak diadakan.

“Adalah penting untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diadakan bagi mengembalikan mandat rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia, sebentar tadi.

Sementara itu, Abang Johari menyifatkan ia suatu pengkhianatan sekiranya kerajaan negeri terus digantung tanpa melaksanakan PRN12 Sarawak.

Turut hadir pada sidang media khas itu ialah barisan pemimpin utama daripada setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here